MCA akan berkempen habis-habisan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bulan depan.

Bagi tujuan itu, Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti berkenaan melantik Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon sebagai Pengarah Jawatankuasa PRK MCA bagi Parlimen Sungai Besar, dan Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon bagi Parlimen Kuala Kangsar.

Kedua-dua mereka akan atur langkah dan program pemimpin pusat untuk turun padang bersama penyokong untuk mendapatkan sokongan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA ke-29 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Beliau berkata MCA akan terus memantapkan jenteranya bagi memastikan undi masyarakat Cina dapat ditingkatkan kerana terdapat kira-kira 13,000 pengundi Cina di Sungai Besar dan 7,800 di Kuala Kangsar.

MCA akan menumpukan untuk memberi penerangan tentang projek-projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan pusat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, serta dasar-dasar yang baik kepada masyarakat di akar umbi, katanya.

Kita akan pastikan rakyat faham bahawa kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang pesat dalam negara memberi asas yang kukuh bagi BN untuk terus dapatkan sokongan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," kata Liow.

Ditanya sama ada konflik yang dihadapi pakatan pembangkang akan memberi kelebihan buat BN, Liow berkata perpecahan dalam pakatan menunjukkan mereka tidak mementingkan sokongan rakyat, tetapi lebih kepada kepentingan diri sendiri.

Kita harap usaha dan komitmen BN yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat, mengamalkan kesederhanaan, inklusif dan jaga kepentingan semua boleh menarik lebih banyak sokongan daripada semua kaum termasuk sokongan kaum Cina, katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lepas.