Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan wujud rasa tidak gembira antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan DAP.

Sebaliknya, hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan, iaitu Bersatu dengan akar umbi DAP dalam keadaan baik dan mengekalkan kerjasama bagi kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Dr Sahruddin berkata, kepimpinan tertinggi DAP, iaitu penasihat parti, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut turun padang untuk kempen berkenaan.

“Setakat ini saya masih berkempen dari pasukan DAP, hubungan kami bukan hanya nampak mesra dan baik, (tetapi) memang kami boleh bekerjasama, insya-Allah.

“Yang penting, kita kena fokus (kepada) Tanjung Piai… kita punya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Sembang Santai dengan nelayan di Kukup, Pontian.

BACA: Bersatu tidak bersendirian di dalam Pakatan Harapan - Zuraida

Terdahulu, Guan Eng mengaku wujud sedikit rasa tidak gembira dalam kalangan DAP untuk berkempen.

Bagaimanapun beliau yakin perkara itu dapat ditangani secara dalaman dengan baik.

Sementara itu, Dr Sahruddin memberitahu beliau tidak dimaklumkan mengenai pemberian kad sim prabayar percuma semasa ceramah umum PH di Tenggayun, malam tadi.

Beliau berkali-kali menafikan dakwaan Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mempersoalkan pemberian kad sim prabayar itu satu kebetulan.

“Hingga sekarang saya tidak dimaklumkan tentang kad sim itu, (jadi) saya tak nak komen apa-apa.

“Memang saya tak dimaklumkan. Saya tak dimaklumkan, macam mana saya nak nafikan,” katanya lagi.