Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman menafikan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp bahawa beliau akan mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil (PRK).

"Mesej itu tidak betul. Saya nafikan akan melepaskan kerusi Nibong Tebal. Saya tidak akan melepaskan kerusi Nibong Tebal," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu menyatakan mesyuarat khas PKR pada tengah hari ini bersetuju peletakan jawatan Mansor sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi tersebut.

Mesej itu turut menyatakan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, sumber memberitahu tiada mesyuarat khas PKR diadakan tengah hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu, Mansor yang juga penyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal menewaskan Shaik Hussein Mydin (BN-UMNO), Mohd Hilmi Haron (PAS) dan Tan Tee Beng (BEBAS) dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 15,817 undi.

Sebelum ini, Anwar pada PRK Sungai Kandis, dilaporkan berkata kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberi laluan untuknya bertanding dan kembali semula menjadi anggota parlimen.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi perdana menteri kelapan.

Bagaimanapun, kawasan Parlimen yang akan ditandingi Anwar masih menjadi teka-teki dan beliau belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bahawa pengumuman mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi bekas timbalan perdana menteri itu hanya akan dibuat sekembalinya Anwar dari Hong Kong, Rabu ini. -- Bernama