MCA mengumumkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang merangkumi 10 akujanji dan 10 inisiatif terutama untuk pembangunan masyarakat Cina.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, manifesto berkenaan adalah perincian mengenai komitmen MCA untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Kita yakin bahawa MCA parti yang bertanggungjawab melaksanakan dan memberi jaminan kepada orang Cina dan rakyat bahawa kita akan bersungguh-sungguh melaksanakan manifesto iaitu akujanji kepada rakyat.

"Ada 10 akujanji dan inisiatif yang fokus kepada bagaimana untuk memperkasa orang muda, belia dan pada masa sama memperkasa digital ekonomi dan memastikan kesejahteraan sosial dipertingkatkan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan manifesto MCA di Wisma MCA, di sini hari ini.

Tiga bidang utama yang diberi tumpuan dalam manifesto MCA adalah merangkumi hub pendidikan global, pemerkasaan ekonomi digital dan kebajikan sosioekonomi.

"Bagi bidang pendidikan, antaranya kita komited untuk membangunkan sekolah Cina dan memastikan kepelbagaiannya," ujar beliau.

Ia termasuk meningkatkan kualiti pendidikan masyarakat cina, memperkasakan orang muda dan wanita melalui peluang pekerjaan selaras dengan TN50, Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) , dan akses kepada kesihatan.

"Bagi bidang ekonomi, MCA komited untuk mewujudkan Bank Kojadi sama seperti Amanah Saham Nasional Berhad.

"Saya yakin manifesto BN dan MCA akan majukan negara dan hebatkan negaraku," ujarnya.