Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan meninggalkan kerusi parlimen Kluang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti dan mempertaruhkan nasibnya di Ayer Hitam.

Saingan getir bakal menanti Chin Tong yang dijangka berdepan cabaran penyandang kerusi tersebut Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga timbalan presiden MCA.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan mengumumkan perkara itu di pusat pilihan raya Pakatan Harapan Ayer Hitam sempena sambutan ulang tahun ke-52 DAP.

Dalam ucapannya, Guan Eng berkata DAP meletakkan calonnya yang paling kuat untuk berdepan Ka Siong dan ia satu keputusan sukar.

"Hari ini bagi pihak DAP, kami mengumumkan calon pertama untuk PRU ke14: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang akan bertanding di Ayer Hitam," katanya.

Chin Tong mengakui ia merupakan cabaran yang sukar tetapi bertegas Pakatan Harapan mempunyai peluang di Ayer Hitam.

"Pastinya ia akan menjadi sangat sukar. Saya merasakan HARAPAN ada peluang untuk menang di sepuluh lagi kerusi di Johor jika kita menang di sini, kerana sepuluh kerusi itu adalah kerusi marjinal," katanya.

Dalam tiga pilihan raya lepas, Ka Siong tidak berdepan halangan yang kuat untuk memenangi kerusi itu.

Pada PRU13, Ka Siong menewaskan calon Pas Hu Pang Chaw yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Pas dengan majoriti 7,310 undi.

Manakala pada PRU12, Ka Siong mengalahkan calon Pas Hussin Sujak dengan majoriti sebanyak 13,909 undi sementara pada PRU11 beliau menewaskan calon Pas Mohd Zamri Mat Taksis dengan majoriti 15,763 undi.

Biarpun mengekalkan kerusi parlimen Ayer Hitam, namun berlaku penurunan majoriti yang diperolehinya.