''Saya orang lama, tiada masalah bertanding di mana-mana sekalipun,'' kata Presiden Parti Bersatu Bumiputera Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas ura-ura yang mengatakan beliau akan ke Muar untuk pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengakui masih ramai yang mahukannya untuk mempertahankan kerusi Pagoh dan sentimen berkenaan sedang dipertimbangkan.

''Sudah tentu, Pagoh ni kawasan lama dan ramai orang Pagoh mahu saya bertanding. Sentimen kehendak dan sokongan, saya jangka boleh diperolehi dimana-mana kerusi sekalipun dan mencapai kemenangan,'' katanya dalam sidang media di Pejabat PPBM Pagoh di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan berkenaan akan dibuat tidak lama lagi dan mungkin akan diumumkan dalam program jelajah parti di lokasi bersesuaian.

Sebelum ini, spekulasi kuat mengatakan Pakatan Harapan akan menempatkan nama-nama besar untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional.

Antara yang timbul adalah, Muhyiddin akan meninggalkan Pagoh dan bertanding di Parlimen Muar.

Selain itu, nama Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut disebut-sebut sebagai calon untuk kerusi berkenaan.

Dalam PRU-13, Muhyiddin yang ketika itu Timbalan perdana Menteri mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi mengalakan calon Pas, Mohd Rozali Jamil.

Sementara kerusi Parlimen Muar sudah menjadi milik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim sejak tingga penggal yang lalu.