Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berharap lebih ramai generasi muda disenaraikan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Khairy turut memberi contoh yang dicadangkan iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Menurut beliau, jika pada PRU13 lalu, kira-kira 40 calon muda bertanding untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, pada PRU14 akan datang, setidak-tidaknya tidak kurang daripada jumlah tersebut dan lebih baik jika lebih ramai.

Bagaimanapun, Khairy berkata, beliau faham desakan yang diterima oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Wanita sedang desak PM, pemimpin penyandang sedang desak PM, orang lama desak PM, Pemuda pun desak PM.

“Saya ada caralah untuk bincang dengan YAB Perdana Menteri pasal benda ni, tidak perlu bincang melalui medialah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan Tapah, di Tapah Road di sini, pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, ahli-ahli Exco kerajaan negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Di dalam ucapannya, Khairy turut membayangkan Saravanan akan disenaraikan semula sebagai calon Parlimen Tapah.

Kompleks Sukan Tapah yang terletak di Tapah Road itu dibina dengan peruntukan RM11 juta bagi fasa pertama yang mengandungi dewan serbaguna, gelanggang futsal, padang bola sepak, kafetaria dan pejabat.

Fasa kedua yang akan dimulakan tidak lama lagi mengandungi astaka, balapan lapan lorong, lampu limpa dan seterusnya kolam renang untuk fasa ketiga.