Walaupun logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) sesuai digunakan Pakatan Harapan (PH) kerana ia parti berbilang kaum dan agama, serta wujud di seluruh negara namun perbincangan masih perlu dilakukan, kata Ketua Sekretariat Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, logo PKR itu memang sinonim dengan agenda reformasi yang diterapkan dalam penubuhan PH, namun penggunaan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah), malah DAP sendiri juga mempunyai rasionalnya sendiri.

“Keadilan merupakan parti yang terdiri daripada ahli berbilang kaum dan agama, dan ia wujud di seluruh negara. Ia juga sinonim dengan Agenda Reformasi yang bermula genap 10 tahun lalu. Ia juga memimpin sebuah negeri dengan jayanya, iaitu Selangor.

“Justeru, ada yang berpendapat ia sesuai menjadi logo yg digunakan sekiranya kami tak dapat mengguna logo PH. Tetapi, ada juga pendapat lain yang juga mempunyai rasional yang kuat. Majlis Presiden belum buat keputusan,” ulasnya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa gabungan pembangkang itu mungkin terpaksa menggunakan logo atau simbol daripada komponen PH seandainya Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih belum meluluskan logo asal mereka.

BACA: Hanya logo PKR sesuai digunakan untuk wakili Pakatan Harapan – Penganalisis

BACA: Keputusan PH guna satu logo parti itu berani, tapi berisiko - Ilham Centre

BACA: Lihat rekod pencapaian, bukan logo

BACA: Salah pilih logo, Pakatan Harapan berdepan undi boikot

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata buat masa ini, langkah seterusnya akan bergantung kepada pengurusan kes pendaftaran PH pada 15 Mac ini.