Pengerusi Hisbah, Datuk Ezam Mohd Nor boleh bertanding di parlimen Shah Alam kerana beliau bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan jika Ezam berhasrat mahu bertanding atas tiket PH, bekas senator itu perlu menerima hakikat bahawa kerusi itu milik Amanah.

Katanya, jika Ezam mahu bertanding atas tiket Amanah, beliau berbincang dengan pimpinan parti itu sama ada akan menerimanya sebagai calon atau tidak.

"Kalau dia nak bertanding itu hak dia lah.Tapi kalau dari segi nak bertanding atas tiket Pakatan Harapan, dia kena terima keputusan Pakatan Harapan bahawa Amanah yang bertanding di situ.

"Sama ada Amanah akan terima dia sebagai calon atau tidak itu cerita lain. Itu kena bincang. Dia kena datang jumpa Amanah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pada Khamis, Hisbah Malaysia mengumumkan akan meletakkan Ezam sebagai calon di kerusi parlimen Shah Alam pada PRU14 nanti.

Sementara itu, Khalid menjelaskan Amanah belum membuat sebarang keputusan untuk menamakan calon yang akan bertanding di Shah Alam namun yakin beliau akan kekal di kersi itu.

"Setakat ini belum ada keputusan lagi tapi nampaknya kekal di Shah Alam lah," katanya lagi.

Jika Ezam bertanding sebagai calon Bebas, kerusi parlimen Shah Alam mungkin akan berlaku pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Amanah, UMNO dan Pas akan turut meletakkan calonnya.