KUALA LUMPUR:Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengulangi ikrar mereka untuk menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman dalam usaha mengembalikan mandat rakyat.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH menjelaskan iltizam dan komiten itu tetap menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi dalam apa sahaja langkah yang diambil bagi mengembalikan mandat rakyat.

"Pakatan Harapan menegaskan bahawa walau apa sekalipun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat itu, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah, dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi," kata kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung parti komponen PH.

Majlis Presiden PH dalam pada itu turut mendoakan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah sembuh daripada sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi.

Seminggu yang lepas, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti sokongan daripada anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Anwar menjelaskan beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong namun terpaksa ditangguh kerana baginda menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.