Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan Pakatan Harapan cuba menanam politik kebencian terutama apabila wujudnya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, tegasnya, budaya u-turn serta "ludah dan jilat balik" hanya berlaku dalam blok pembangkang itu dan bukan Barisan Nasional (BN).

"Apabila berlaku tiga penjuru ini, saya tengok Pakatan Harapan ialah pertama, berlaku politik kebencian dan fitnah. Setiap kali bercakap mesti akan bantai maksimum iaitu mencerca dan point-point itu diambil secara manipulasi. Dalam BN, kita bercakap mengenai kejayaan kita , sejarah dan masa depan tetapi PH londehkan semua dalam kain.

"Hari ini PH boleh u-turn dan boleh ambil, telah diludah dan jilat balik. Tetapi ini tidak berlaku dalam BN. Biarlah politik itu penuh dengan politik kematangan dan bukan maki hamun serta cerca. Kita tidak mahu tidur sebantal mimpi lain-lain. Saya serah kepada rakyat untuk menilai," katanya dalam Wacana Sinar ke-55 bertajuk “Tiga penjuru: Siapa dapat manfaat?” di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Turut diundang, Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Syahir Sulaiman dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa serta Nazri Kahar selaku moderator.

Malah, katanya, manifesto BN adalah jauh lebih baik dan realistik berbanding pembangkang.

"Kalau mengambil manifesto sebagai pertimbangan asas untuk memilih calon, Barisan Nasional menang sebab manifesto kita di peringkat negeri, bahagian, itu asas kita. Walaupun BN telah terdidik sekian lamanya kita tidak ada politik kebencian. Kita tidak menanamkan politik fitnah. Kita tidak buat politik kecelaruan," tambahnya.

Katanya, fitnah kebencian yang disebarkan terhadap BN berniat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Apa sahaja yang dibangkitkan di media sosial tidak pernah positif, melainkan untuk menuduh, mengata dan menimbulkan kemarahan dan cuba menumbangkan kerajaan. Jadi kita serah kepada rakyat untuk menilai," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa menegaskan, taktik menyerang DAP dengan serangan anti-Islam dan anti-Melayu adalah manipulasi politik untuk menimbulkan politik kebencian.

"Itu yang berlaku. Mendedahkan rasuah bukan kebencian tetapi kita kasih kepada negara ini. Saya tanya di Parlimen, ada atau tidak (isu Kristianiasi orang Islam)?

"Kalau ada mesti ditangkap atau didakwa. Namun, sehingga hari ini tidak ada apa-apa (kenyataan berhubung isu ini). Sebab ia tidak dibicarakan atau dijawab dengan telus," ujar Mujahid.

Tambahnya, pertembungan tiga penjuru pada PRU14 tidak seharusnya digunakan untuk merosakkan asas negara dan menimbulkan kebencian dalam negara.

"Kita perlu membebaskan rakyat dengan mendapat maklumat-maklumat yang benar. Caranya dengan kebebasan pandangan," katanya.