Pertikaman lidah berhubung kontroversi wang milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang dibekukan di Australia menjadi topik perdebatan hangat hingga mengheret kepada isu politik dalam perbahasan Dewan Rakyat, semalam.

Sehingga terbit kata-kata daripada Ahli Parlimen pembangkang bahawa sanggup meninggal dunia dalam keadaan sedang melawan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Sepang (Amanah), Hanipa Maidin menggamatkan dewan dengan hujah dirinya akan berasa lega sekiranya dapat melawan BN hingga ke hujung nyawanya.

“Sakit ke hatta saya mati sekali pun saya puas hati sebab saya cakap lawan BN.

“Kalau malaikat tanya kenapa mati? (saya jawab) ‘mati lawan BN’, saya rasa lega betul lah,” kata Hanipa ketika sesi perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian kerana menganggap BN adalah sebuah parti yang tidak baik dan menyeleweng.

Suasana dewan digamatkan lagi dengan bidasan daripada Ahli Parlimen Setiu (BN), Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

“Astagfirullahalazim, mati kerana lawan BN, alah sanggup, bagus, terima kasih, Alhamdulillah, mati la cepat,” jawabnya.

Situasi kian tegang apabila Hanipa terus mengasak kritikan Che Mohamad Zulkifly dengan mengatakan beliau tidak takut dengan kematian.

“Tak apa, tak ada masalah, kita bukan takut mati, kita cuma takut lepas mati,” jawabnya.

Kemudian, Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim membalas dengan hadis yang membawa maksud, tutuplah aib kamu di dunia, Allah akan tutup aib kamu di akhirat.

Hanipa berkata, beliau bersetuju dengan nasihat Shahidan berkaitan memilihara aib.

“Betul, saya setuju, tapi dalam kes ini aib umum, isu pengarah JSJ, isu semua orang bercakap, itu bukan seperti Arau (Shahidan) faham.

“Dengan ini saya minta, berdoalah supaya PRU14 ini merupakan pilihan raya terakhir menyaksikan BN sebagai kerajaan dalam Parlimen ini,” sindirnya.