Lebih ramai pemimpin UMNO berjawatan tinggi dijangka keluar parti dan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed .

Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Sazmi Miah berkata, antara punca pemimpin UMNO bertindak demikian adalah kerana perpecahan dalaman parti tersebut kian ketara yang mana membabitkan dua kem utama.

Katanya, mereka yang tidak berpihak kepada mana-mana kem utama itu dilihat akan mengambil jalan keluar dengan meninggalkan UMNO.

"Saya yakin antara alasan Tok Pa meninggalkan UMNO adalah refleksi kepada sentimen rakyat masa kini yang sudah muak dengan kerenah pemimpin UMNO yang masih tidak sedar diri dan tidak mengambil iktibar atas apa yang telah terjadi.

"Perpecahan dalaman yang membabitkan dua kem utama juga memberikan impak yang besar kepada parti tersebut," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Semalam, Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu dengan alasan hala tuju UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Menurutnya, UMNO ketika ini tidak ada banyak usaha yang menyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula malah melihat usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

Tambah Sazmi, tindakan Mustapa adalah langkah berani biarpun sedikit terlambat dan pihaknya mengalu-alukan penyertaan Mustapa bersama-sama Bersatu.

Katanya, Bersatu berharap Mustapa akan terus menyumbang kepada kesejahteraan Kelantan sesuai dengan pengalaman dan kebolehan pemimpin besar itu.