Setiausaha Politik Menteri Luar, Datuk Jihek Basanu pada Isnin tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menuduh ucapan Datuk Seri Anifah Aman bersikap perkauman di satu majlis di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Jihek berkata laporan polis itu dibuat antara lain bagi menyangkal dakwaan parti pembangkang terbabit yang didapati cuba memutarbelitkan ucapan Anifah yang juga merangkap Ahli Parlimen Kimanis sehingga mencetuskan kekeliruan ramai pihak khususnya rakyat di negeri ini.

"Saya membuat laporan ini sebagai setiausaha politik kepada Datuk Seri Anifah Aman mengenai laporan Loretto Padua.

"Loretto telah memutar belit ucapan Datuk Seri Anifah dan saya sebagai suku kaum Bajau dari Semporna saya menghayati ucapan Datuk Seri Anifah yang tidak pernah menyentuh sifat sensitif mengenai perkauman di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah(IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Tambah beliau, pihak pembangkang dalam pada masa yang sama turut membuat laporan polis berhubung kenyataan Anifah yang disifatkan sebagai tindakan tidak profesional kerana bercanggah dengan ucapan asal yang diberikan dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina di sebuah hotel pada 9 Februari lalu.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat selepas parti Warisan membuat laporan berhubung ucapan Anifah yang mendakwa parti itu sedang meneruskan perjuangan Sultan Sulu yang ingin menuntut negeri Sabah.

Tambah Jihek lagi, Anifah merupakan satu-satunya pemimpin yang memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding Datuk Seri Shafie Apdal ketika beliau bersama UMNO dahulu.

"Bagi saya dialah pemimpin yang tulen yang sebenar-benarnya memperjuangkan hak-hak Sabah dan begitu berani mengambil risiko tapi berdasarkan kepada fakta," katanya.

Sementara itu, aktivis politik, Abdul Jalil turut membuat laporan polis berhubung kenyataan menghasut yang dikeluarkan oleh naib presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony ketika memberi ucapannya di Matunggong, Kudat baru-baru ini.

Menurut Abdul Jalil, tindakan Peter yang mengaitkan keburukan sesuatu bangsa, agama dan kaum adalah tidak wajar dilontarkan meskipun di landasan politik.

"Peter menggunakan rakyat Kadazandusun Murut (KDM) ini sebagai satu alasan untuk dia meningkatkan undi orang-orang Kadazan terhadap parti Warisan," katanya.

Beliau berkata, dalam ucapannya pemimpin kanan pembangkang itu turut mempertikaikan tindakan kerajaan melantik Tan Sri Bernard Dompok yang juga bekas Presiden UPKO sebagai Duta Khas ke Vatican yang dilabel sebagai 'menteri' dianggap sebagai memalukan.

Selain tafsiran jawatan yang salah, beliau menyifatkan tindakan Peter membangkitkan isu Dompok sebagai Duta Khas juga dilihat mengguris perasaan penganut agama Kristian dan kaum Kadazandusun Murut di negeri ini kerana tidak sensitif serta sengaja mencetuskan huru hara ke atas perpaduan sedia ada di Sabah.