Pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak mengambil mudah kedudukan sedia ada dalam pentadbiran negara kerana akhirnya rakyat yang akan menentukan kemenangan parti, sekali gus memilih bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan jentera BN supaya lebih agresif mendekati kesemua lapisan masyarakat dalam usaha memastikan kesinambungan pemerintahan BN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

"Lanskap dunia kini sudah berubah. Ini bukan hanya unik kepada negara kita. Kalau kita tengok apa yang berlaku di Amerika Syarikat, di United Kingdom dan di Timur Tengah, mungkin dalam sejarah dunia, tidak ada mana-mana pemimpin yang boleh mengambil mudah kedudukan mereka.

"Sebab itu slogan dan pendekatan kita ialah 'yang akan menentukan segalanya adalah rakyat'. Sebab itu saya ingatkan jentera supaya mendekati golongan muda, cikgu dan mereka lain, yang tidak merupakan ahli kita.

"Kita di Malaysia, pilihan terbaik adalah BN," katanya selepas melancarkan jentera BN Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan Pakatan Harapan mencalonkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya memenangi PRU14 nanti hanya dibuat berdasarkan pertimbangan politik sementara.

Justeru, jentera di Kedah perlu menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat kerana ada yang terkeliru dan beremosi terhadap sentimen peribadi sebelum ini yang tidak mengambil kira perjuangan parti.

Malah, beliau yakin barisan kepimpinan BN Kedah mampu berhadapan dengan sebarang ujian bagi menghadapi PRU14 kerana biarpun kesetiaan pemimpin dan akar umbi telah diuji, mereka masih teguh berjuang bersama parti.