Krisis dalaman yang melanda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membabitkan dua pemimpin parti telah diselesaikan secara damai, menurut pengerusi Gerakan negeri Teng Chang Yeow.

Teng yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata perkara itu telah selesai hasil pertemuan dengan presiden parti Datuk Seri Mah Siew Keong Khamis lepas.

"Kami mengadakan mesyuarat tiga jam Khamis lepas untuk membincangkan perkara itu dan selepas mesyuarat, kami menganggap masalah itu telah selesai," katanya dalam ucapan pembukaan persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita negeri di ibu pejabat parti Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, Teng enggan memberitahu hasil mesyuarat dan berkata Mah akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Bulan lepas, timbalan setiausaha agung parti, Dr Thor Teong Gee mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti selepas mendakwa reputasinya tercemar berikutan kemelut dalaman bagi jawatan penyelaras Bahagian Sungai Pinang.

Berikutan itu, naib pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong menafikan yang beliau mahu mengambil alih jawatan penyelaras Bahagian Sungai Pinang dan tidak berhasrat untuk menjejaskan reputasi Dr Thor.