Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menerima teguran pemimpin partinya sendiri kerana menuding jari isu 1MDB sebagai punca kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Hari ini, seorang pemimpin PH pula menyindir Ahli Parlimen Rembau itu kerana tidak menyalahkan diri sendiri.

Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Khairy sepatutnya menegur bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1MDB sebelum ini.

“Kenapa anda tidak cuba menyalahkan diri sendiri juga. Kerana ramai orang termasuk saya mahu anda melawan Najib berkenaan 1MDB sebelum ini dalam usaha menyelamatkan UMNO dan negara.

“Tetapi adakah anda berbuat demikian? Anda tidak. Kenapa?,” katanya di laman Twitter hari ini.

Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan turut menyertakan pautan kepada laporan sebuah portal berita tahun lalu yang menyiarkan gesaannya agar Khairy melawan Najib untuk menyelamatkan UMNO.

Bagaimanapun, Khairy seperti biasa tidak berdiam diri apabila membalas kenyataan Dzulkefly itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengatakan dirinya tidak dipersalahkan dalam isu berkenaan.

“Saya kata kita kalah kerana 1MDB. Maknanya, kita semua patut dipersalahkan. Semua orang dari pentadbiran terdahulu.

“Saya tidak mahu berada dalam penafian tentang kenapa kita kalah,” katanya.