Veteran DAP, Lim Kit Siang digesa menyarankan kerajaan untuk mengadakan semula Pilihan Raya Umum (PRU) selepas meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan inkuiri di empat kerusi Parlimen melibatkan pengundi tentera sebelum ini.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, dakwaan Kit Siang membabitkan pemindahan pengundi tentera secara tidak sah di kerusi berkenaan juga tidak masuk akal.

Jelasnya, ia semakin pelik apabila kem Segamat tidak langsung disebut dan dikaitkan dengan tuduhan bahawa pembinaannya dibuat berdasarkan pertimbangan politik dan bukan atas sebab keselamatan.

"Mungkin kerana Parlimen Segamat ini dimenangi PKR, jadi tidak perlu untuk SPR melihat kepada keputusan PRU lalu.

"Bagi saya ini membuktikan bahawa kem tentera tidak membawa apa makna kepada pertimbangan politik, kalau tidak sudah tentu Parlimen Segamat milik Barisan Nasional (BN).

"Soalan saya kepada Kit Siang, adakah kamu rasa anggota-anggota tentera kita tidak mempunyai hak kebebasan untuk memilih pemimpin? Jangan kamu rendahkan kedudukan perajurit kita. Hak mereka dan hak kamu sama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Jangan sesekali kamu ingat wira negara ini seperti lembu yang boleh dicucuk hidungnya," tegasnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Kit Siang di dalam blognya memberitahu, inkuiri itu bagi menentukan sama ada keputusan membabitkan empat kerusi yang pernah ditandingi pemimpin kanan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu diisytihar batal atau sebaliknya.

Kerusi berkenaan itu adalah Parlimen Bagan Datuk yang disandang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong); bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (Segamat).

Bagaimanapun, hanya Subramaniam yang juga bekas Presiden MIC tewas dalam kerusi yang ditandinginya pada PRU-14.

Dalam pada itu Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat memberitahu tidak terperanjat kerana DAP yang memulakan gerakan Bersih menyatakan bahawa SPR tidak jujur dan bersih dalam menjalankan tugasan mereka semasa PRU12 dan PRU13.

"Walhal ketika itu mereka sudah menguasai Selangor dan Pulau Pinang. Mungkin SPR tidak Bersih dalam PRU14, maka menyebabkan BN tumbang. Saya cabar Kit Siang sarankan diadakan semula PRU dengan segera," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Bastien mengingatkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu agar tidak mendedahkan maklumat-maklumat yang tidak sepatutnya diketahui umum seperti kedudukan kem, kekuatan anggota dan yang terbaharu berkenaan peralatan tentera.

"Semua pendedahan ini dibuat atas nama memerangi rasuah. Memang baik, tetapi tidak perlulah diumumkan segala maklumat hanya bertujuan bagi memulakan penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Cukup sekadar dilaporkan tanpa perlu memperincikan maklumat-maklumat sulit. Sekarang, negara luar juga boleh mengetahui kedudukan kem, aset terbaru dan kekuatan anggota hanya dengan menyemak berita-berita berkenaan Kementerian Pertahanan," katanya.

Bastien turut menasihati Mohamad Sabu agar tidak perlulah didedahkan kesemuanya selain memerlukan kebijaksanaan untuk memulakan siasatan.

Tambahnya, tiada kes yang terbukti lagi namun maklumat sulit dan kritikal sudah diketahui umum.

"Menjadi Menteri Pertahanan ini memerlukan seseorang yang berhati-hati kerana melibatkan pertahanan dan keselamatan negara. Jangan terlalu mengejar populariti.

"Mohamad mungkin tidak tahu bahawa banyak perkara yang disebut memerlukannya untuk mengklasifikasikan beberapa dokumen yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 atas sebab-sebab rahsia keselamatan negara.

"Mungkin Mohamad juga patut mendapatkan nasihat dari Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dalam isu ini," jelasnya.