LAPORAN media sosial kononnya hubungan antara parti-parti politik dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) semakin rapuh dan retak menimbulkan pelbagai andaian termasuk ramalan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan diadakan lebih awal daripada yang sepatutnya.

Malah, penularan berita dalam media sosial mengenai pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong PH dan Barisan Nasional.

Ada juga yang mengandaikan pertemuan antara dua pemimpin tersebut itu memberikan satu isyarat jelas kononnya PRU ke-15 akan diadakan tidak lama lagi bagi mencari penyelesaian terhadap isu Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin PKR yang kini sangat hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat.

Persoalanya, sekiranya PRU ke-15 diadakan dalam masa yang terdekat, apakah kecenderungan politik semasa dalam kalangan rakyat terutamanya masyarakat India yang dikenalpasti sebagai penentu utama kepada kemenangan sesuatu parti dalam medan politik Malaysia.




Sokongan hebat

Sejarah politik negara menunjukkan bahawa sokongan hebat masyarakat India terhadap Kerajaan Perikatan pada tahun 1955 dan seterusnya BN dari PRU pertama sehinggalah ke PRU ke-11 yang menyebabkan BN menang besar dan terus berkuasa.

Analisa keputusan PRU ke-3 pada tahun 1969 menunjukkan bahawa Perikatan (gabungan parti politik UMNO, MCA dan MIC) mengalami kekalahan yang amat teruk kerana sebahagian besar pengundi Cina mengalihkan sokongan mereka daripada Perikatan yang diterajui UMNO kepada parti pembangkang pada ketika itu.

Bagaimanapun, sokongan tetap pengundi India terhadap Perikatan membolehkan Perikatan membentuk kerajaan pusat walaupun hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti pembangkang terutamanya DAP menyebabkan Perikatan mengalami kekalahan teruk di Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam pilihanraya tersebut, Perikatan memenangi 14 kerusi dan pembangkang turut memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Parti-parti pembangkang ketika itu seperti DAP (9), Gerakan (4) dan Pas (1) meraih sokongan hebat daripada pengundi Cina di kawasan bandar.

Di Perak pula, Perikatan hanya mampu memenangi 19 daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala pembangkang membolot kerusi DUN selebihnya dengan DAP dan Pas (18), Gerakan (1) dan Pas (1).

Dalam masa yang sama, parti Gerakan yang baharu ditubuhkan berjaya memenangi majoriti kerusi DUN Negeri Pulau Pinang.

Kemenangan parti-parti pembangkang ini jelas menunjukkan kemerosotan sokongan parti Perikatan dalam kalangan pengundi bukan Melayu terutamanya pengundi Cina.

Sokongan sebahagian besar pengundi India yang hampir mencakupi 80 peratus terhadap Perikatan dan seterusnya BN menyebabkan kedua-dua gabungan parti politik ini menang besar dan kekal dalam arena politik Malaysia.

Malah, sokongan hebat pengundi India terhadap BN membolehkan BN mengekalkan kuasa pemerintahan walaupun berlaku perpecahan dalam UMNO yang membawa kepada kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dan BN sekali gus semasa PRU ke-8 pada 1990.

Sokongan hebat pengundi India terhadap UMNO dan BN dikatakan telah mempengaruhi kejayaan BN dalam menewaskan Barisan Alternatif (BA), sebuah gabungan pembangkang yang meraih hanya sebanyak 53 kerusi Parlimen.

BN pula memenangi 127 kerusi daripada sejumlah 180 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tengku Razaleigh Hamzah dilihat mendapat sokongan hebat dalam kalangan orang Melayu (UMNO), walaupun beliau tewas kepada Dr Mahathir dengan perbezaan sebanyak 43 undi sahaja untuk merebut jawatan Presiden UMNO, namun BA yang dipimpin oleh beliau gagal menewaskan BN di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

Para penganalisis politik berpendapat bahawa sokongan hebat pengundi India kepada BN adalah penyumbang besar kepada kemenangan BN semasa PRU ke-8 pada tahun 1990.

Namun, peralihan sokongan pengundi India daripada BN kepada parti bukan BN telah menggugat kekuatan BN, malah mengubah lanskap politik Malaysia secara amnya.

Penganalisis politik berpendapat bahawa sebahagian besar pengundi India iaitu lebih 60 peratus telah mengalih sokongan mereka kepada parti bukan BN pada PRU ke-12 kerana kepimpinan MIC yang mewakili kaum India dalam kerajaan BN pada ketika itu dilihat tidak mampu mematahkan serangan dan tohmahan tentang khabar angin kononnya kaum India tersisih daripada arus perdana pembangunan negara.

Justeru itu, MIC yang mewakili kaum India dalam kerajaan BN turut mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-12.

Di samping itu, kepimpinan MIC pasca PRU ke-12 juga didapati kurang berjaya dalam usaha untuk meraih semula sokongan pengundi India kepada BN.

Meskipun kepimpinan BN melaksanakan pelbagai program pembangunan sosio-ekonomi bagi masyarakat India, namun hampir 85 peratus pengundi India tetap menolak BN yang menyebabkan kerajaan BN kehilangan genggaman kuasa pada PRU ke-14 yang dipegang sejak merdeka.

Namun begitu, kecenderungan politik dalam kalangan pengundi India dilihat kian berubah sejak PRU ke-14.

Kemenangan BN dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut sejak akhir-akhir ini jelas menunjukkan pengundi India mula menolak PH kerana kecewa dengan PH yang masih gagal menepati janji-janji mereka sebelum ini.

Persoalannya, adakah pola pemikiran politik ini akan dijelmakan pada PRU ke-15 yang akan datang? Ada yang berpendapat bahawa dalam suasana politik di mana undi Melayu yang akan berpecah kepada dua kelompok besar iaitu BN (UMNO) dan Bersatu pada PRU ke-15, pengundi India dijangka kembali memberi sokongan hebat kepada BN atas keyakinan mereka terhadap kepimpinan baharu MIC.




Menawan minda

MIC di bawah kepimpinan Tan Sri SA Vigneswaran dilihat berjaya menawan minda dan hati sebahagian besar komuniti India terutamanya golongan muda melalui pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan.

Malahan, pendekatan kepimpinan baharu MIC yang dinamik dan tidak teragak-agak untuk menyuarakan hasrat serta keinginan masyarakat India dalam membela kepentingan keseluruhan kaum terutamanya dalam menyediakan khidmat guaman secara percuma untuk membela beberapa orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas dakwaan keterlibatan mereka dalam aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berjaya meraih sokongan masyarakat India kepada MIC dengan merentasi fahaman politik.

Meskipun jumlah pengundi India agak kurang berbanding kaum-kaum lain dengan hanya merangkumi 6.8 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar, para pemerhati politik berpendapat bahawa kedudukan pengundi India adalah signifikan malah mampu menentukan keputusan PRU ke-15.

Ia berdasarkan kawasan Parlimen yang ditaburi dengan pengundi India antara lima sehingga 25 peratus terbukti membantu PH memenangi 58 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU ke-14.

Apapun, gelombang Muafakat Nasional yang wujud hasil jalinan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang disokong oleh MIC dijangka menggugat kekuatan PH pada PRU ke-15.

Ia juga menimbulkan persoalan apakah Muafakat Nasional yang disokong MIC mampu merealisasikan andaian bahawa PH adalah kerajaan sepenggal seperti yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini?



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.