Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu dengan majoriti yang besar adalah di luar jangkaan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, beliau berkata ia adalah kemenangan yang sangat manis kerana sasaran untuk menjadikan kedua-dua calon parti pembangkang hilang wang deposit tercapai.

"Kita memang sudah menjangka kemenangan calon kita tetapi kita tidak menjangka kemenangan bergaya dengan majoriti yang sangat besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediaman Jamilah 'Damai Jaya' di sini malam ini selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu malam ini.

Jamilah memperoleh 6,572 undi mengalahkan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Rapelson Richard Hamit yang mendapat 130 undi, manakala calon Parti Reformasi Sarawak (Star) Johnny Bob Aput mendapat 108 undi. Kedua-duanya hilang wang deposit.

Abang Johari berkata kemenangan itu juga merupakan pernyataan sokongan rakyat terhadap jasa dan perjuangan bekas ketua menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

"Sekarang kita sudah melahirkan seorang tokoh politik baharu di Tanjong Datu yang mempunyai pengalaman sangat luas yang saya yakin mampu untuk menyambung legasi arwah suami beliau," katanya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas sokongan dan usaha beliau untuk bersama-sama membangunkan kawasan Tanjong Datu.

"Persefahaman antara Petra Jaya dan Putrajaya sudah tentu akan membawa banyak manfaat kepada Sarawak dan seluruh rakyatnya," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua rakan komponen BN yang telah bersama-sama berkempen untuk memastikan kemenangan bergaya calon BN pada PRK itu.

Sementara itu, Jamilah yang kelihatan begitu gembira, menyifatkan kemenangan besarnya itu sebagai hadiah ulang tahun ke-37 perkahwinan beliau dan Allahyarham Adenan yang lazimnya disambut pada 14 Feb selain ulang tahun kelahiran Adenan pada 27 Jan lalu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan seluruh rakyat di DUN Tajong Datu kerana memilih beliau sebagai ADUN baharu kawasan itu, Jamilah memohon maaf kerana tidak dapat bertemu dengan mereka sepanjang tempoh berkempen kerana masih dalam edah.

Katanya apabila habis tempoh edah, beliau pasti akan turun padang untuk bertemu pengundi di DUN Tanjong Datu serta menjalankan tanggjungjawab beliau sebagai wakil rakyat kawasan itu.

"Saya akan bekerja keras sebagai wakil rakyat dan memastikan janji-janji yang dibuat semasa kempen dilaksanakan. Saya juga berjanji akan bekerjasama dengan ketua menteri serta rakan-rakan dalam BN," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu di Dewan Masyarakat Lundu, Azizul Annuar, anak bongsu Adenan dan Jamilah, berkata para pengundi menterjemahkan penghargaan mereka terhadap jasa Adenan menerusi keputusan PRK DUN Tanjong Datu yang diumumkan malam ini.

"Saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada penduduk-penduduk di kawasan Tanjong Datu kerana masih memberi kepercayaan kepada calon BN iaitu mak saya Tok Milah (Jamilah). Saya percaya mereka telah membuat keputusan yang betul," katanya.

Menyifatkan tempoh kempen yang dilaluinya sangat berbaloi, Azizul berkata beliau akan terus turun padang sementara ibunya masih dalam edah, malahan menyatakan komitmennya tidak akan berhenti setakat itu sahaja.

"Saya sudah tentu akan turun padang membantu beliau (Jamilah) kerana beliau hanya habis edah selepas Mei ini," katanya.

-- BERNAMA