Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis mencerminkan kedewasaan pengundi di Parlimen ini.

Menurut calonnya, Datuk Mohamad Alamin, rakyat telah menterjemahkan apa yang dimahukan mereka menerusi keputusan pada PRK kesepuluh ini.

Sebelum itu, Mohamad Alamin diumum memenangi PRK Kimanis dengan majoriti 2,029 selepas menewaskan pesaingnya, Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama bukan lah saya secara peribadi tetapi sekali gus telah menampakkan kedewasaan rakyat dalam membuat keputusan hari ini dengan pelbagai isu yang menghantui rakyat.

“Mereka telah terjemahkan dalam PRK Kimanis kali ini.

“Kepada lawan saya Datuk Karim Bujang, saya juga ucapkan tahniah kerana telah menampakkan kematangan berpolitik sepanjang berkempen. Kita sering bersemuka dan terserempak dengan beliau,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan di sini, malam ini.

BACA: Kimanis kekal di tangan BN, peroleh majoriti lebih besar

Mohamad dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong BN atas sokongan yang diberikan.

Terdahulu, Mohamad mendapat 12,706 undi, menewaskan Karim yang mendapat 10,677 undi.

PRK Parlimen Kimanis adalah PRK ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).