Setiausaha Agung Parti Pribumi Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan bahawa Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi parti itu.

Sebaliknya, keahlian Ahli Parlimen Langkawi itu terhenti selepas beberapa tindakan yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir dilihat melanggar perlembagaan parti.

"Saya ingin tegaskan bahawa kelima-lima mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka telah terhenti kerana melanggar perlembagaan parti. Ini adalah berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama daripada mana-mana individu.

"Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri. Banyak aduan yang telah diterima mengenai salah laku mereka, antara lain adalah seperti Tun Dr Mahathir telah mengumumkan untuk masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebaik sahaja Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk dibawah kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM pada Jumaat.

Tambah Hamzah, bekas Perdana Menteri itu juga telah membuat kenyataan bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan mendesak supaya Sidang Parlimen dilanjutkan bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang mendapat perkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Malah Tun Dr Mahathir juga pada 18 Mei lalu mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan untuk terus berusaha menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dalam hal ini, Tan Sri Megat Najimuddin sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin telah memaklumkan kepada saya sebagai Setiausaha Agung bahawa perkara di atas tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.," kata Hamzah.