Pas mempunyai kelebihan dari sudut lokaliti, guna tenaga dan jentera namun keputusan bergerak secara bersendirian akan menguji tahap sokongan rakyat kepada parti Islam itu pada PRU14.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemampuan Pas diuji melibatkan kawasan bercampur atau majoriti kaum Cina yang sebelum ini dibantu sokongan DAP untuk menang di kawasan itu.

Menurutnya, cabaran termasuk pecahan pola pengundi Melayu yang kini terbahagi kepada Amanah dan Bersatu selain UMNO serta PKR.

“Tiga penjuru tidak semestinya berpihak kepada UMNO sebaliknya bakal dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk calon, kawasan dan parti yang yang bakal bertanding.

“Namun UMNO pastinya akan cuba meningkatkan sokongan melalui pecahan undi Melayu tersebut,” katanya.

Pola peningkatan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan adalah bergantung kepada jumlah pengundi yang bakal keluar pada hari pengundian.

“Semasa PRK Kuala Kangsar, keupayaan Pas lebih baik berbanding wakil Amanah, namun sebaliknya dalam keputusan PRK Sungai Besar sokongan calon Amanah lebih tinggi daripada Pas.

“Namun keupayaan Bersatu belum dapat dipastikan kerana masih belum diuji dalam mana-mana pilihan raya umum atau pilihan raya kecil sebelum ini.

“Dijangka PRU14 menyaksikan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap lima parti yang mewakili Melayu,” katanya.

Sementara pengundi Cina pula katanya, pola pengundian tidak akan menunjukkan sebarang perubahan ketara dan tidak bermasalah apabila melibatkan persaingan tiga penjuru.

Terdahulu Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam satu laman portal berita dipetik berkata, pertembungan tiga penjuru semasa PRU14 nanti dilihat memberikan lebih kesan buruk kepada PKR dan Pas.

Katanya, persaingan tiga penjuru akan memecahkan undi Melayu meliputi 60 peratus pengundi Melayu di dalam negara.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat ketika itu menarik hampir 40 peratus undi Melayu dan selebihnya kepada UMNO.