Perwakilan Pas kawasan Pengkalan Chepa tidak menolak Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz atau menamatkan legasi ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas beliau tewas dalam pemilihan berkenaan.

Sebaliknya menurut Yang Dipertua Pas kawasan Pengkalan Chepa, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, peranan Nik Abduh lebih diperlukan di peringkat pusat selaku Ketua Dewan Pemuda Pas dan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Nik Abduh adalah Ketua Pemuda Pas dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas. Dengan tanggungjawab itu, sudah tentu beliau tidak mempunyai masa memadai untuk memberi tumpuan penuh di kawasan Pengkalan Chepa kerana mempunyai jawatan lebih besar iaitu Ketua Pemuda Pas.

"(Pemenang) Dr Izani Husin adalah orang paling layak memandangkan beliau juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. Itu pandangan saya mengenai kekalahan Nik Abduh dan ia tidak bermakna orang menolak beliau atau legasi bapanya,” katanya.


Nik Mohamad Abduh gagal merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua dari penyandangnya Dr Izani Husin yang mendapat 209 undi berbanding beliau yang memperoleh 37 undi dalam pemilihan PAS kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu.

Sementara itu Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan sebarang keputusan berhubung samada Pas akan meneruskan kerjasama politik dengan PKR akan dapat diketahui pada Muktamar bulan depan.

Katanya walaupun ada usul dari Dewan Pemuda Pas kawasan Tumpat dan Pas kawasan Permatang Pauh supaya memutuskan kerjasama politik dengan PKR, namun ianya hanya boleh diputuskan dalam Muktamar nanti.