Kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergantung kepada sejauh mana kekuatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyaingi kem-kem lain yang wujud di dalam parti itu sendiri.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Amirudin juga akan berhadapan dengan situasi di mana keputusan status jawatannya dibuat Azmin yang berada dalam kem yang sama.

"Kerusi Menteri Besar Selangor sering dianggap badi kepada penyandangnya, kita telah melihat pelbagai skandal, isu dan juga pendakwaan dilakukan ke atas penjawat kerusi tersebut sehingga sesiapa sahaja yang dilantik seringkali dinasihatkan untuk berhati-hati. malah dalam konteks hari ini , kita melihat ia boleh berlaku kepada menteri besar hari ini.

"Ketika itu kita melihat seolah-olah peristiwa ini boleh berulang jika pesaing politik mereka bertanggapan sesuatu harus dilakukan ke atas kerusi Menteri Besar Selangor.

"Kerusi ini penting kerana Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri pernah menyatakan bahawa beliau didesak untuk melepaskan jawatan tersebut kerana dana yang ada mahu digunakan untuk parti. Apakah dalam persaingan kem yang wujud di dalam parti, dana diperlukan untuk meraih sokongan dan barangkali negeri Selangor ini dianggap merupakan lubuk yang penting bagi PKR. Ini merupakan tanggapan atau persepsi yang berlaku dalam konteks hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

BACA: Tiada perbincangan politik - Zuraida

BACA:
'Kalau betul saya tidak hadir langsung' - Amirudin nafi boikot mesyuarat PKR


Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Amirudin dijadual berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor kerana pentadbirannya dikatakan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Bagaimanapun Dr. Sivamurugan percaya kedudukan Amirudin masih selamat kerana Majlis Tertinggi PH di Selangor sudah memutuskan untuk terus memberikan sokongan kepada Amirudin.

"Kita juga melihat bahawa PH harus berhati-hati berhadapan dengan isu ini kerana mereka juga berhadapan dengan isu kedudukan jawatan perdana menteri di peringkat pusat.

"Kedua, agenda yang berteraskan kepada kepimpinan untuk rakyat itu masih berada dalam dilema dalam kalangan masyarakat dan jika kedudukan kuasa dan pangkat diutamakan, maka masyarakat akan mula menyoal apakah itu yang perlu diutamakan atau agenda kepada rakyat yang harus dijadikan sesuatu yang dominan," jelasnya.


Katanya lagi, PH juga tidak boleh berhadapan dengan kedudukan ketika langkah Kajang dilakukan pada 2014 semata-mata untuk menukar menteri besar ketika itu.

"Selepas itu pengundi sendiri sudah menyatakan kenapa perlu sesuatu perlu dilakukan kerana kuasa yang sudah wujud dalam konteks negeri atau apakah personaliti tertentu harus diutamakan daripada kepentingan rakyat dan parti.

"Sudah pasti pengalaman lepas itu harus diambil kira oleh PH supaya dalam kedudukan yang getir hari ini , apatah lagi PKR sendiri berhadapan dengan wujudnya pembahagian kuasa dan kedudukan dalam kalangan personaliti yang ada, mereka tidak boleh berhadapan dengan isu ini sekali lagi.

"Pada tahun 2014, isunya dihadapi ketika king maker pada masa itu adalah Pas yang mempunyai kerusi yang sama dengan Dap iaitu 15-15, Barisan Nasional (BN) 12 dan PKR 14," tegasnya.


Dalam kedudukan 51 kerusi PH hari ini, Dr Sivamurugan menjelaskan isu itu tidak boleh menjadi besar sehingga bersedia untuk mengorbankan seorang menteri besar semata-mata kerana wujudnya perbezaan dari segi sokongan ke atas pemimpin tertentu.

Namun ujarnya, ia tertakluk seandainya menteri besar itu sendiri tidak menjalankan tanggungjawab atau melainkan tadbir urus Selangor itu boleh dipersoalkan.

"Selagi itu, saya percaya PH harus berhati-hati walaupun dalam konteks hari ini dikatakan DAP menjadi king maker dalam kedudukan atau kuasa yang ada pada menteri besar," katanya.

Sebelum ini juga, dikatakan pihak yang merancang untuk menggulingkan Amirudin daripada jawatan Menteri Besar Selangor mendakwa mereka sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pelan undi tidak percaya.