Gara-gara kecewa tidak dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Melaka, bekas Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hang Tuah Jaya, bertindak mencalonkan dirinya untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dr Kamarolzaman Mohd Jidi yang juga bekas Pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuat keputusan itu selepas kecewa dengan janji palsu yang ditabur pucuk pimpinan yang menjanjikannya sebagai calon di DUN berkenaan.

Menurutnya, beliau mengakui telah bekerja keras di DUN berkenaan sejak awal menyertai parti itu lebih setahun lalu selepas menyangkakan kepimpinan yang disertai bersifat jujur dan amanah.

Bagaimanapun, janji itu hanya tinggal janji selepas calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diletakkan sebagai calon di kerusi tersebut.

Jelasnya, mereka (PKR) mengambil langkah itu selepas yakin mampu merampas kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN) dan bagi mengatasi kerakusan serta sifat tamak haloba parti itu, beliau mengambil tindakan mencalonkan diri sebagai calon bebas.

"Namun dalam proses membina mandat yang telah diamanahkan oleh PPBM Bahagian Bukit Katil, saya diberi amanah untuk memastikan DUN Ayer Molek yang dipegaang BN untuk saya takluk dan kuasainya.

"Jadi dalam tempoh setahun lebih saya telah memperlihatkan sokongan padu hasil gerak kerja yang saya lakukan sebagai Naib Ketua Bahagian PPBM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Hang Tuah Jaya di rumah media Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.

Bagaimanapun, Kamarolzaman yang masih menjadi ahli PPBM menyerahkan keputusan pencalonannya itu serta status keahlian kepada puck pimpinan.

Selain beliau, tiga lagi calon yang akan bertanding di kerusi DUN Ayer Molek adalah Rahmad Mariman (BN); Jantan Abdullah (Pas) dan Farhan Ibrahim (PKR).