UMNO dan PAS akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas dalam tempoh terdekat bagi mencari titik persamaan demi memperjuangkan agenda Melayu dan Islam di negara ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jawatankuasa khas itu juga diwujudkan bertujuan untuk melaksanakan program sosial membabitkan dua parti Melayu berkenaan.

"Menerusi jawatankuasa ini, UMNO juga akan anjurkan perhimpunan berkaitan isu membabitkan Melayu dan Islam di setiap negeri bagi menyemarakkan lagi jalinan kerjasama kedua-dua parti sekali gus menaikkan semangat orang Melayu dan Islam.

"Kami berharap menerusi jawatankuasa ini kami akan mampu berganding sebagai satu pakatan pembangkang dalam memelihara agenda Melayu dan Islam di negara ini," katanya ketika berucap semasa menghadiri program perjumpaan presiden UMNO bersama kepimpinan tertinggi UMNO peringkat Selangor pada Ahad.

Sementara itu, beliau yakin UMNO akan dapat mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ahmad Zahid berkata UMNO tidak gentar untuk bertanding di DUN Rantau dan pihaknya akan membuktikan bahawa parti keramat Melayu itu masih menjadi pilihan rakyat.

"Rantau ditakdirkan akan mengadakan PRK selepas mahkamah buat keputusan membatalkan kemenangan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan).

"Ikut perundangan, Tok Mat boleh buat rayuan, tetapi saya minta beliau tidak buat rayuan. UMNO berani bertanding dan ini adalah kawasan kubu kuat UMNO," katanya.

Jumaat lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Sebelum ini Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

-- BERNAMA