Aduan terhadap Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti telah dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan lanjut.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, Jawatankuasa Disiplin PKR yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Kasim sudah menerima aduan tersebut dan kini sedang meneliti kes berkenaan.

"Saya boleh sahkan ada aduan terhadap beliau, dan saya boleh sahkan aduan itu ada di tangan Jawatankuasa Disiplin.

"Jadi kes itu sedang diteliti oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (PKR), Datuk Ahmad Kassim dan tindakan disiplin akan membawa kepada amaran, gantung, atau pecat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pasaraya TF Value-Mart yang pertama di Pulau Pinang, di Balik Pulau pada Khamis.

Disember lalu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti ketika berucap pada majlis makan malam 'Wawasan Kemakmuran Bersama' di Kuala Lumpur.

BACA: Krisis dalaman PKR: Zuraida pula minta Anwar bertenang

BACA: "Otai Reformis 98 ibarat nyamuk" - Zuraida

BACA: Saya dan Azmin bersedia dipecat - Zuraida

Bagaimanapun Saifuddin berkata, buat masa ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkembangan proses siasatan kes tersebut.

Namun katanya, keputusan berhubung kedudukan Zuraida dalam parti hanya akan diketahui bergantung kepada siasatan.