Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa isytihar harta itu teori komunisme dan sosialisme sebagai tidak berasas.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu seolah-olah cubaan ‘menunggang agama’ semata-mata untuk meraih sokongan.

Apa yang memelikkan, ujar Mujahid, isu transparensi terutamanya langkah mengisytiharkan harta dahulu disokong kesemua parti, termasuk Pas sendiri.

“Dahulu dia (Abdul Hadi) kata dia sokong, tapi kemudian timbalan dia (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) kata ini bercanggah dengan Islam. Hari ini kita dengar dia kata ini agenda komunis dan sosialis dan pengaruh DAP. Saya sukar nak bagi pandangan dan dasar mereka yang 'flip flop'.

“Tapi yang paling terang dan jelas jangan guna Islam kalau tak mahu buat, sebab itu seolah-olah kita menunggang agama. Dan itu jawapan yang salah. Yang kedua jangan salahkan parti lain sebab isu transparensi ini kita dah sebut dalam manifesto kita ia bukan soal DAP...semua parti setuju termasuk Pas dulu,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu Program “Street Raya” Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menyifatkan idea pengisytiharan harta secara umum merupakan teori komunis dan sosialis, dan berkata, ada kemungkinan idea itu diceduk dari pemikiran sosialis yang dibawa oleh parti DAP.

BACA: Idea isytihar harta merupakan teori komunis dan sosialis - Pas

Awal minggu ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.