Perwakilan Puteri UMNO, Datin Naszriah Ngasri mengingatkan anggota parti agar tidak terpengaruh dengan politik watak kucing dan tikus, 'Tom and Jerry' yang dimainkan Pakatan Harapan (PH).

Tegas beliau, jangan terlalu gembira dengan adegan pergaduhan PH kerana ia perkara biasa dalam politik.

"Saya ingin ingatkan diri saya dan perwakilan, hati-hati dan jangan terpengaruh dengan politik 'Tom And Jerry' Pakatan Harapan.

"Kita lihat ada pergaduhan antara mereka, kita happy (gembira). Kita perlu ingat elemen gaduh, cemburu, sesekali terkena dan sesekali diperkenakan (adalah) perkara biasa dalam politik," katanya semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Justeru katanya, anggota UMNO perlu senada dan berusaha memenuhi hasrat pemimpin parti untuk membudayakan politik ketahanan dan berimbang.

"Apa yang penting, yang terkena (kita) berikan 'panadol ActiFast'. Ayuh, kita sekata dan bersama Presiden UMNO membina modenisasi melalui politik ketahanan dan politik berimbang. Muafakat Nasional akan kembali memerintah," ujarnya.

Tambahnya lagi, PH bukan lagi pilihan anak muda.

"Anak muda sudah benci dengan PH. Sampai pandang sinis PH. Bagaimana kita nak kekalkan mometum kebencian ini sehingga PRU?

Ambil iktibar apa yang dihadapi PH sekarang. Keterbatasan bukan penghalang. Pastikan anak muda kita kata taubat tak nak undi PH lagi," kata Naszriah.

Sementara itu,dalam keadaan sebak, Naszriah turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengalu-alukan kehadirannya daripada dunia lakonan kepada dunia politik.

"Inilah harapan saya walau saya ini datang dari dunia lain dan masuk dunia politik. Tetapi saya sangat yakin selagi obor perjuangan dipegang, selagi kita menghormati semua, pasti kekal perjuangan UMNO.

"Terima kasih kepada semua keluarga dan adik beradik yang menjadi pendukung. Berpolitik lagi mencabar dari berlakon," kata beliau.