YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melantik Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isu peletakan jawatan Dr Mahathir pelantikan Perdana Menteri baharu menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat dari pelbagai kaum terutamanya ahli politik.

Jelas, dapat dilihat bahawa Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda untuk menyelesaikan kemelut politik yang tercetus akibat peletakan jawatan Dr Mahathir dalam tempoh masa yang singkat iaitu kira-kira seminggu sahaja.

Baginda selaku Ketua Utama Negara (Perkara 39) melantik Perdana Menteri baharu dengan bersandarkan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan dokumen undang-undang utama negara.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (2)(a) memberi kuasa kepada baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri, manakala melalui Perkara (43)(1) pula, kuasa turut diberikan kepada baginda untuk melantik Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri dalam proses membentuk sebuah kerajaan yang sah.

Rakyat perlu teliti dan memahami akan maksud ‘who in his judgement‘ atau budi bicara baginda yang termaktub dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas undang-undang pembentukan kerajaan Malaysia.

Dalam melaksanakan kuasa yang termaktub dalam Perkara tersebut, baginda menggunakan pelbagai kaedah untuk memperoleh maklumat yang secukupnya tentang calon atau ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti.

Selain menerima dokumen pencalonan daripada ketua-ketua parti politik, baginda juga menemubual setiap Ahli Dewan Rakyat secara peribadi untuk menentukan calon yang mendapat sokongan majoriti.

Akhirnya, setelah berpuas hati sepenuhnya, baginda percaya bahawa Muhyiddin adalah calon yang memperolehi sokongan lebih daripada 112 orang Ahli Dewan Rakyat ataupun lebih tepat lagi berjaya meraih majoriti dalam Parlimen.

Dengan itu, baginda mengambil keputusan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri baharu dalam menyelesaikan kemelut politik yang tercetus dalam negara.

Baginda melantik Muhyiddin bukanlah bersandarkan parti politik yang memenangi pilihanraya lepas tetapi lebih kepada sokongan majoriti yang beliau berjaya perolehi daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Bukan itu sahaja, Muhyiddin turut dilaporkan telah mendapat sokongan padu daripada parti beliau sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Pas selain beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Meskipun BN dan Pas yang merupakan parti pembangkang dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, mereka turut menyokong pencalonan Muhyiddin bersama beberapa parti daripada Sabah dan Sarawak.

Sokongan hebat inilah yang dikatakan menyebabkan Muhyiddin meraih sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen yang mendorong baginda untuk memilih beliau sebagai Perdana Menteri.




Tindakan dipersoal

Namun begitu, ada segelintir pihak yang mempersoalkan kewajaran Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin yang menjalinkan kerjasama dengan BN dan Pas yang pernah ditentangnya dalam pilihanraya yang lepas.

Sejarah politik dunia menunjukkan wujudnya kerjasama dan pakatan antara parti-parti yang pernah ditentang dalam pilihan raya untuk membentuk satu kerajaan apabila berlakunya isu kedudukan negara yang menghadapi deadlock atau kebuntuan membentuk kerajaan.

Sebagai contoh, negara Itali pernah mengalami suasana politik yang sama. Pada bulan September tahun lalu, parti ‘Lega Nord’ (LEGA) dan ‘Gerakan Lima Bintang’ (M5S) berjaya mengalahkan Parti ‘Demokratik’, parti pemerintah melalui undi majoriti.

Namun demikian, kerajaan yang terbentuk daripada gabungan kedua-dua parti tersebut tidak mampu bertahan lama lalu tumbang kerana timbulnya perselisihan faham antara mereka.

Akhirnya, gabungan politik ‘LEGA-M5S’ berpecah dan LEGA terpaksa keluar daripada gabungan tersebut yang kemudiannya menjadi parti pembangkang.

Oleh kerana itu, M5S terpaksa menjalinkan kerjasama dengan Demokratik, parti yang pernah ditentang dan dicemuhnya dalam pilihanraya lepas dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Dalam pada itu, ada juga negara yang menghadapi kebuntuan atau deadlock dalam proses membentuk kerajaan sehingga hampir setahun setelah kerajaan dibentuk terdahulu tumbang.


Kebijaksanaan Agong

Jika dilihat dalam senario di negara kita, kemelut pelantikan Perdana Menteri setelah tumbangnya kerajaan PH dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Agong.

Baginda berjaya menyelesaikan kemelut politik yang menimbulkan banyak kegusaran dalam kalangan rakyat dari semua peringkat.

Justeru itu, adalah wajar bagi rakyat berasa syukur dan bangga kerana adanya Institusi Raja yang mampu menyelesaikan dan menamatkan krisis politik yang tercetus di luar jangkaan itu untuk mengelakkan ekonomi negara daripada terus merosot.

Sehubungan dengan itu, adalah tidak wajar bagi rakyat untuk terus melayan sebarang bentuk polemik atau perdebatan dalam media sosial mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri baharu.

Sebaliknya, rakyat seharusnya memberi sokongan padu terhadap beliau dan kerajaan yang bakal ditubuhkan supaya semua rakyat dari pelbagai kaum dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa tanpa rasa bimbang atau khuatir tentang masa depan mereka.

Apapun, rakyat berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk merangkumi semua kaum dan etnik agar kepentingan semua kaum terpelihara dan tidak ada satu kaum merasa tertinggal dalam arus pembangunan negara.

Masyarakat India berasa lega dan seiring menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Memandangkan MIC merupakan wakil dan suara tunggal kaum India dalam negara kerana daripada jumlah orang India yang menyertai pelbagai parti politik dalam negara, lebih sembilan puluh peratus dilaporkan menyertai MIC.

Maka, mereka berharap wakil MIC dapat disertakan dalam barisan Jemaah Menteri kerajaan baharu untuk memastikan masalah sosioekonomi masyarakat India tidak terlepas pandang oleh kerajaan baharu dalam usaha pembinaan sebuah negara maju dan bersatu padu.

Kepimpinan negara harus sedar bahawa akhir-akhir ini masyarakat India telah beralih sokongan kepada MIC dan berkeyakinan tinggi bahawa MIC lebih memahami permasalahan mereka berbanding parti-parti lain.

Isu pelantikan Perdana Menteri baharu telah selesai. Rakyat seharusnya mengelak sebarang polemik atau merungut mengenai pelantikan tersebut.

Rakyat seharusnya mengelak kejadian rumah siap, pahat masih berbunyi demi negara tercinta.

Rakyat perlu menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong atas kewibawaan baginda dalam merungkai kemelut politik dalam masa yang singkat.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.