Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengingatkan pengundi di Segamat agar tidak mudah terpedaya dengan kempen politik parti pembangkang yang hanya datang menjenguk penduduk daerah ini sekali-sekala sahaja.

Beliau berkata, kehadiran mereka hanya untuk merosakkan fikiran rakyat dan bukannya membawa pembangunan positif kepada masyarakat di daerah ini.

"Tengok sahaja simbol yang mereka guna untuk Pilihan Raya Umum (PRU) telah cukup menggambarkan bahawa mereka bukan satu pakatan yang stabil seperti Barisan Nasional (BN) yang telah lama berjaya mentadbir urus negara ini," kata beliau ketika berucap melancarkan jentera BN Parlimen Segamat di Dataran Yayasan, dekat sini, pada Jumaat.

Beliau selaku Ahli Parlimen Segamat berkata, perjuangan yang dibawa oleh parti pembangkang tidak jelas berbanding perjuangan yang dibawa oleh BN dan mereka boleh berpecah-belah bila-bila masa selepas atau sebelum PRU ke-14 nanti.

"Percayalah kepada simbol dacing (BN) yang membela nasib semua lapisan rakyat berbanding dengan simbol mata (Parti Keadilan) yang membawa kepada pemikiran yang tidak stabil," katanya di hadapan kira-kira 2,500 orang yang hadir pada majlis tersebut.

Dr Subramaniam turut menasihati pengundi di daerah itu supaya membuat pilihan tepat pada PRU nanti agar mereka tidak menerima nasib yang sama yang terpaksa dipikul selama lima tahun oleh pengundi di Jementah.

"Tengok sahaja apa yang berlaku di sana (Jementah) tidak sama apa yang berlaku di sini (Segamat). Nasib pengundi di Segamat adalah terjamin kerana ianya adalah merupakan tanggungjawab kami semua sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat," katanya.

Terdahulu, pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Sementara Palong Timur di Felda Palong Timur, Dr Subramaniam berkata Malaysia terus dipilih sebagai lokasi pelancongan kesihatan terbaik apabila dinobatkan sebagai tempat pertama oleh International Medical Travel Journal (IMTJ) baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, pemilihan Malaysia membuktikan sektor pelancongan kesihatan negara setaraf dengan negara-negara maju apabila rakyat negara lain seperti Indonesia, China, Myanmar dan beberapa negara lain, memilih negara ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan mereka.

Katanya, kejayaan ini merupakan hasil usaha secara bersama oleh kerajaan dan pihak swasta dalam menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti kepada orang ramai sehingga berjaya menarik minat pelancong luar negara untuk mendapat perkhidmatan kesihatan di negara ini.

-- BERNAMA