Tindakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang melaung-laungkan ‘Sabah Ubah’ adalah tindakan individu yang hanya menukar ‘baju baharu’ tetapi masih mempunyai keperibadian sama.

Ini jelas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana Mohd. Shafie yang sebelum ini merupakan pemimpin kepercayaan dalam UMNO tidak pernah menyentuh berhubung hak Sabah.

Menurut beliau, tindakan (memperjuangkan hak Sabah) itu hanya dilakukan Mohd. Shafie apabila sudah keluar UMNO dan menubuhkan Warisan.

Sehubungan itu, jelasnya, tiada sebab untuk rakyat Sabah mencuba ‘baju baharu’ untuk menukar kerajaan kerana belum tentu yang baharu itu akan sebaik yang lama.

“Yang mahu ubah Sabah itu sama juga orang lama, dia mahu tukar baju tapi hati sama kepala tidak tukar, cuma baju saja tukar.... Dia tidak pernah menyuarakan hak-hak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Seranta dan Diplomasi Awam bersama masyarakat Cina Parlimen Kimanis di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Anifah turut mengingatkan rakyat supaya perlu berhati-hati dalam membuat pilihan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan Sabah akan kekal ditadbir oleh pemimpin tempatan.

Menurut beliau, rakyat Sabah tidak wajar memberi peluang kepada orang luar untuk mentadbir negeri ini kerana kesilapan dalam membuat pilihan pemimpin sebagai peneraju tampuk kepimpinan boleh memberi kesan negatif di masa depan.

Dalam perkembangan lain Anifah sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sesekali melayan sebarang tuntutan oleh pihak luar terhadap sabah.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan Sabah daripada ancaman anasir luar yang cuba menggugat kestabilan negara.