Semua pihak perlu melihat penubuhan Perikatan Nasional (PN) bermatlamat mengukuhkan gabungan parti politik yang menjurus kepada kepentingan rakyat.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, gabungan itu dilihat perlu dan bertepatan dengan senario politik masa kini.

Jelasnya, ia sekali gus sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan daripada blok pembangkang Pakatan Harapan (PH).

"Tanggapan berbeza dan ulasan negatif terhadap gabungan PN adalah perkara biasa sewaktu PH sedang berhempas pulas cuba mengembalikan kuasa yang telah tertimbus angkara pemimpin mereka sendiri yang terlalu rakus untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

"Jika tidak dirasuk agenda peribadi, masakan Tun Dr Mahathir Mohammad ditekan dan diasak bertubi-tubi oleh sekutu PH sendiri supaya segera meletakkan jawatan secara 'berlapik' dengan menetapkan garis masa untuk berundur.

"Tekanan sedemikian menjelaskan bahawa kalangan pemimpin PH sendiri yang tidak menghormati Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan 'orang tua' yang telah mereka pergunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

BACA: Rakaman mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari lalu tular

BACA:
Enam parti yang bentuk kerajaan sokong tubuh Perikatan Nasional

Dalam pada itu katanya, rakyat melihat kegilaan politik dalam kerajaan PH pada waktu itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku ketika mana mandat rakyat terutama kuasa politik orang Melayu telah diperlekehkan secara terbuka.

"Mengambil teladan sedemikian, maka cadangan penubuhan gabungan PN dilihat menjadi 'satu harapan' baru kepada rakyat untuk melihat negara ini dipacu oleh pemimpin yang menjadikan rakyat sebagai teras sokongan.

"Biarpun memorandum persefahaman (MoU) PN sedang dirangka, tetapi melihat kepada kesungguhan dan sikap keterbukaan pemimpin gabungan itu, saya berpandangan PN akan menjadi alternatif baru dalan melahirkan budaya politik yang lebih beretika dan berhemah menyantuni kepentingan rakyat.

"Saya juga tidak terlalu optimis untuk membayangkan ianya akan terarah kepada kewujudan sistem dua parti tetapi kewujudan gabungan PN sekurang-kurangnya akan mengendurkan ketegangan berpolitik sehingga boleh mengabaikan kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.

Kata Syed Ali lagi, melihat kepada teras yang terkandung dalam gagasan PN antaranya memertabatkan kedaulatan Raja-raja Melayu dan keluhuran prinsip Rukun Negara, diyakini gabungan tersebut akan 'mengembalikan' semula keyakinan dan suara rakyat terhadap sistem politik demokrasi negara.

"Tidak bermaksud rasis tetapi sewaktu kerajaan PH selama 22 bulan diberikan kuasa, pelbagai rungutan, keresahan, kekecewaan dan kebimbangan orang Melayu begitu ketara sekali terhadap sistem nilai, geo-politik, struktur ekonomi dan sosial yang didakwa begitu membimbangkan.

"Manakala di satu pihak lain pula, isu perkauman dan agama serta keangkuhan kuasa disemarakkan tanpa batasan sehingga dikatakan begitu meruncing dan tahap perpaduan rakyat pelbagai kaum menjadi semakin rapuh.

"Mengapa fenomena sedemikian berlaku? Jawapannya kerana mereka yang diberikan peluang memegang tampuk kuasa selama 22 bulan itu terlalu rakus dan gelojoh sehingga hilang jati diri sebagai pemimpin Melayu yang mampu mengangkat maruah bangsanya sendiri, tetapi dalam masa yang sama tidak menyisihkan kepentingan kaum lain di negara ini," tegasnya.

Sehubungan itu jelasnya, kewujudan gabungan PN tidak seharusnya hanya dilihat kepada alasan tersirat penggabungan kuasa politik, tetapi jauh tersurat untuk melahirkan kesatuan politik yang mampu menjadi pelindung kepada masa depan rakyat yang selama ini menjadi 'buah catur' puak berkepentingan.

"Saya yakin, kesepakatan PN yang diwakili pemimpin berpengalaman seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada hemat saya bakal memberi kesan positif dalam kerjasama antara kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

"Justeru, terserah kepada rakyat dan ahli-ahli parti yang mendokong gagasan PN sejauh mana persediaan mereka untuk menerima pola baru dalam sistem politik di negara ini.

"Bagi saya, keberadaan Muhyiddin yang telah diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan adalah permulaan ke arah mengembalikan semula keharmonian negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Syed Ali turut menyatakan persetujuan dengan pandangan umum bahawa 'rakyat semakin tenang' dengan Muhyiddin berbanding kerisauan dan keresahan yang mereka tanggung selama 22 bulan di bawah rejim PH.