Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, pada Jumaat secara rasminya umumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkuatkuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu (2013-2018) lepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang digalasnya sejak Oktober 2013.

Pengumuman itu dinyatakan Jailani ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok dan Sayap di Dewan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini, petang Jumaat sebagai tanggungjawab terhadap kekalahan BN dalam PRU14, pada 9 Mei lalu.

Menurutnya, keputusan itu juga (letak jawatan) bagi memenuhi permintaan, kehendak dan seruan suara-suara daripada Bahagian Hulu Terengganu yang meminta beliau berundur setelah keputusan PRU14 lalu tidak memihak kepada BN dan UMNO.

"Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang juga Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat akan memangku jawatan (Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu) sehingga adanya pemilihan jawatankuasa baharu nanti.

"Suara Bahagian minta saya undur, jadi saya berundur dan lepas semua jawatan dalam parti. Kita juga meminta bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut lakukan hal sama atau buat keputusan ini (letak jawatan).

"Beliau (Ahmad Razif) dilihat antara sebab atau punca kekalahan BN di Terengganu dalam PRU14. Jadi, kita minta beliau juga turut ambil keputusan untuk berundur, " katanya.

Sementara itu, untuk rekod pada Oktober 2013 lalu Jailani dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu selepas memperoleh 531 undi menewaskan Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mendapat 447 undi.

Pada PRU13 lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu setelah mendapat sebanyak 31,940 undian, manakala pencabarnya calon Pas, Kamaruzaman Abdullah, sebanyak 23,727 undian.

Dalam PRU14 baru-baru ini, nama beliau digugurkan sebagai calon dan mantan Adun Ajil selama tiga penggal (1999-2013), Datuk Rosol Wahid dicalonkan bagi kerusi berkenaan.