Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau batalkan hasrat melawat makam Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana enggan dituduh mengambil kesempatan.

"Saya dah ziarah makam Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebelum ini, bukan sahaja beliau tu Presiden Pas, tapi beliau juga kawan saya,

"Tetapi di sini, saya tak nak orang kata saya cari keuntungan politik, itu tak baik," jelas Dr Mahathir kepada Astro AWANI selepas majlis bersama Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Media pagi tadi dimaklumkan berhubung hasrat Dr Mahathir untuk melawat makam Allahyarham Nik Aziz.

Namun hasrat itu tidak diteruskan selepas keluarga Tok Guru tidak membenarkannya.

BACA: Keluarga Tok Guru tidak benar Tun M melawat kubur

Salah seorang anak Allahyarham, Nik Adli bertindak meminta pihak pengurusan Tanah Perkuburan Kampung Pulau Melaka untuk mengunci pintu masuk.

Wakil keluarga menjelaskan tidak membenarkan kunjungan Dr Mahathir kerana enggan terlibat dalam polemik politik.