Bekas Menteri Pengajian Tinggi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh turut menerima penangan apabila dikaitkan bakal mengikuti langkah enam ahli Parlimen UMNO yang mengambil keputusan untuk keluar parti itu hari ini.

Menurut Datuk Rosol Wahid yang juga sangat dikenali sebagai orang kanan beliau ketika dihubungi oleh Astro AWANI perkara itu sememangnya telahpun dibincangkan dengan beliau.

“Kita dah bincang dengan dia, jelasnya dia mudah dan senang, dia akan ikut orang ramai (kehendak ramai). Jika ramai pergi (keluar) dia akan pergi. Itulah ayat dia.”

Bagaimanapun jelas Rosol, Idris juga menyatakan bahawa beliau sudah berada di penghujung hayat politik dan tidak lagi menunjukkan minat terhadap lanskap politik semasa.

BACA: Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti

BACA: Hamzah Zainudin antara 6 ahli Parlimen keluar UMNO

BACA: Presiden UMNO, lepaslah jawatan... - Pemuda Kedah

Walaupun tidak secara terus terang, khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa Idris kemungkinan besar akan turut meninggalkan UMNO.

Selain Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, lima lagi ahli UMNO turut mengumumkan untuk keluar parti itu hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.