Calon Pakatan Harapan Dun Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menegaskan pendekatan Husam Musa melalui Amanah menepati citarasa Allahyarham bapanya.

Nik Omar berkata, sebelum kematian bapanya, beliau sering kali mendengar secara terbuka pendekatan dan pemikiran Husam sentiasa menjadi pujian Allahyarham.

“Asas kalau kita ikut perkembangan arwah Tok Guru sebenarnya acap kali puji Husam. Secara terbuka, antaranya Husam ni ALLAH lahirkan untuk mentadbir Malaysia.

“Dia sebut secara terbuka dan dengan adanya Husam, banyak beri kebaikan kepada Kelantan dari sudut kewangan, ekonomi.

“Walaupun ambo tidak terlibat secara langsung dengan politik tetapi ambo ikut perkembangan. Jadi ambo suka perhatikan pendekatan yang dibawa oleh Husam ini memang sama, bagaikan ‘anak butir’ Tok Guru,” katanya kepada media di sini.

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman manifesto Pakatan Harapan Kelantan di Tunjong, malam tadi.

Mengulas mengenai pemecatan ahli Pas serta merta, beliau memaklumkan belum menerima notis rasmi daripada parti itu.

Bagaimanapun, beliau terbuka dengan keputusan yang dibuat dan menganggap itu perkara biasa dalam sesebuah pentadbiran parti.

“Kita terima dengan hati yang terbuka, mana-mana organisasi pun ada peraturannya, jadi kita terimalah,” katanya.