Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan UMNO akan datang.

Keputusan itu disuarakan beliau pada sidang media khas di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor.

Hishammuddin berkata, beliau bagaimanapun akan memberi sepenuh komitmen terhadap parti di peringkat negeri.

Katanya, beliau tidak akan lari daripada perjuangan UMNO dan keputusan yang diambil untuk tidak bertanding bukan satu keputusan yang mudah.

"Itu bukan suatu keputusan yang mudah saya lakukan. Saya tak akan lari daripada perjuangan saya, tak akan takut atau gentar pada perubahan yang perlu kita lakukan.

"Saya tak akan keluar dari parti tapi realiti hari ini, berhubung jawatan timbalan presiden itu, saya tidak akan bertanding tetapi komitmen saya terhadap kelangsungan perjuangan parti ini tak ada siapa boleh mempertikaikan," ujar beliau.

Hishamuddin memaklumkan perkara itu telah disuarakan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beliau faham serta hormati keputusan tersebut.

Walaupun tidak bertanding, Hishamuddin menegaskan karier politiknya tidak akan berakhir.

Katanya, jawatan bukan satu perkara penting untuk menyumbang kepada perjuangan dan perkhidmatan kepada parti.

Malah dia akan memberi sokongan dan komitmen dengan turun ke Bahagian UMNOselepas raya untuk menerangkan kepada mereka secara terperinci tentang hal itu dan menyokong pencalonan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Naib Presiden.