Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin dilihat sebagai jawapan kepada persoalan mengenai kepimpinan UMNO, kata penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Dalam catatan blognya yang terbaharu bertajuk - The Hishammuddin Poser: How Real Was It?”, wartawan veteran itu berkata, beliau percaya kedua-dua pemimpin yang dianggap sebagai Melayu moderat itu mampu membawa kembali UMNO kepada prinsip asalnya.

“Ketika mana parti itu seperti tiada pengawasan, dan ketika mana barisan kepimpinannya seolah-olah kembali kepada zaman bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hishamuddin telah muncul sebagai ketua ‘de facto’ parti itu.

“Ia kelihatan seperti kata-kata beliau lebih dipandang serius oleh ahli parti, serta masyarakat umum, berbanding kata-kata Najib atau Presiden parti itu sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” kata A Kadir.

Menurut tokoh wartawan itu, kebangkitan Hishammuddin dan Khairy merupakan satu perkembangan yang cukup menarik untuk diikuti.

Pada masa kini, A Kadir berkata, UMNO berada dalam bahaya kerana mengadakan kolaborasi ummah dengan PAS.

“Tidak semua orang dalam UMNO selesa mengenai pendamaian dengan PAS. Mereka tahu lama-kelamaan PAS akan mengambil alih rumah tangga yang baru dibina itu. PAS beroperasi di atas semangat agama, manakala UMNO berdasarkan wang. Dan UMNO kini kekurangan wang.

“Individu seperti Hishammuddin, yang ayahnya merupakan antara pengasas UMNO, serta Khairy, adalah tidak termasuk dalam gerakan kolaborasi ummah ini,” kata A Kadir lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja yang beliau suka.

“Jadi apa benda yang mengejutkan sangat mengenai pertemuan Dr Mahathir dengan pemimpin UMNO dan PAS? Beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

“Jika Dr Mahathir boleh bekerjasama dengan musuh politik beliau untuk menjatuhkan Barisan Nasional, mengapa beliau tidak boleh bertemu dengan Hishammuddin dan Khairy?” soal A Kadir lagi.