Majlis Syura Ulamak PAS memilih bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din, lapor Harakahdaily.

Dalam mesyuarat yang diadakan hari ini (Ahad) Majlis Syura Ulamak PAS sebulat suara memilih dan melantik Hashim sebagai Mursyidul Am.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan berkata, Datuk Ahmad Yakob dipersetujui sebulat suara kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, Ahmad Yakob dikekalkan sebagai Timbalan Murysidul Am disebabkan beliau sentiasa sibuk dengan tugas-tugasnya yang lain sebagai Menteri Besar Kelantan.

"Kita pilih dan lantik Tuan Guru Haji Hashim Jasin kerana dia yang paling tua dalam Majlis Syura. Selain itu, beliau mempunyai ilmu yang mantap, di samping pandangan politiknya yang jauh dan mantap," Nik Muhammad Zawawi dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.

Katanya, pelantikan Hashim juga turut dicadangkan sendiri oleh Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan.