Orang Melayu perlu melihat parti komponen Pakatan Harapan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai wadah terbaik untuk memajukan kaum itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana, parti berasaskan Melayu lain seperti UMNO dan Pas dilihat sudah ‘tepu’ untuk menjadi lebih dinamik dan progresif.

“Kita nak supaya Melayu itu dibawa pada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia Baharu hari ini supaya menjadi lebih dinamik dan lebih progresif.

“Yang parti-parti lain tak mungkin bawa dah sebab idea mereka 'obsolete' (lapuk) dan tepu. Oleh kerana mereka tepu dengan idea maka mereka tak maju... dengan pelbagai isu rasuah, maka kita tak lihat Melayu ada pilihan melainkan parti yang ada iaitu Bersatu, PKR ataupun Amanah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Mujahid telah merasmikan Program “Street Raya” anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka di mana lebih 75 buah masjid dan 10 surau Jumaat menyediakan reruai juadah Raya, agihan Duit Raya serta persembahan pentas.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat seruan terbuka mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

Pengerusi Pakatan Harapan itu dilaporkan berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.