Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan agar tidak membuat kenyataan terbuka berhubung isu dalaman Muafakat Nasional (MN).

Nazri berkata, dalam politik banyak perkara sulit yang tidak boleh dihebahkan kepada orang ramai secara terbuka.

Katanya, dalam isu sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum tentu kebenarannya, Takiyuddin boleh mendapatkan penjelasan UMNO dalam mesyuarat MN.

"Benda ini antara UMNO dan Pas, jadi kenapa dia (Takiyuddin) menggelabah nak buat kenyataan terbuka macam itu?

"Dia kena ingat dalam politik banyak perkara sulit yang tidak boleh kita bincang secara terbuka.

"Benda boleh bincang dalam mesyuarat, jadi bincanglah dalam mesyuarat, jangan buat kenyataan terbuka," katanya kepada Astro AWANI.

Secara sinis, Nazri berkata, beliau masih berpegang kepada semangat setiakawan yang dijalinkan antara UMNO dan Pas.

Jelas beliau, dengan menjaga semangat setiakawan, sebarang kerjasama dapat dijalinkan dengan baik dan akan bertambah kukuh.

"Apabila kita menjalinkan kerjasama, kita sepatutnya menjaga hubungan kerjasama itu dengan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

"Setelah berkawan Pas, saya tetap tidak akan duduk semeja dengan Amanah," katanya lagi.

Sebelum ini Takiyuddin dalam satu kenyataan menggesa UMNO memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut Takiyuddin, penjelasan daripada UMNO penting memandangkan parti itu telah menandatangani persefahaman dan persetujuan yang termaktub Piagam Muafakat Nasional.

Katanya, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

BACA: Sokongan kepada Anwar, Pas gesa UMNO beri penjelasan

B
ACA:
Saya tidak tahu menahu tentang 'Langkah Anwar' - Nazri Aziz

B
ACA:
UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid