Gerakan Harapan Baharu (GHB) bukanlah sebuah perjuangan yang diwarisi daripada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

Beliau berkata Allahyarham Nik Abdul Aziz tetap bersama PAS walaupun parti itu pernah beberapa kali dilanda perpecahan.

"Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetap dengan PAS walaupun ada Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia), ada Berjasa (Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Tok Guru (Nik Abdul Aziz) pun meninggal dunia dalam PAS.

"GHB tak selaras dengan perjuangan Allahyarham Nik Abdul Aziz walaupun ada dakwaan macam itu," katanya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa PAS di Markas PAS Kuala Krai di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Mursyidul Am PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Nasuruddin dalam ucapannya turut berkata DAP adalah sebuah parti yang 'cakap tak serupa bikin' dan mempergunakan PAS semata-mata untuk meraih kemenangan pada pilihan raya umum.

"PAS tak putus hubungan dengan DAP tapi DAP yang (mula-mula) putuskan hubungan dengan PAS (dalam pakatan pembangkang)," katanya.

BACA: GHB tidak tolak PRU14 mungkin lebih awal

BACA: Pas digesa buat keputusan rasmi berhubung kedudukan ahli sertai GHB

BACA: Pemimpin GHB batal kunjungan ke rumah Muhyiddin

Sementara itu, Tuan Ibrahim mempersoalkan tindakan GHB yang berterusan menyerang Kelantan walaupun ia adalah negeri pimpinan pembangkang.

Beliau berkata strategi berkenaan akan merugikan pembangkang kerana dilihat akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Ramai penganalisa (politik) menganggap bahawa ini satu strategi yang tak betullah," katanya yang turut mempersoalkan mengapa GHB perlu menarik anggota PAS menyertai gerakan itu kerana ia tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangkang.

Ditanya mengenai tindakan provokasi oleh beberapa bekas pimpinan tertinggi PAS terutama dari kalangan Anggota Parlimennya yang dilihat mencabar parti itu untuk memecat mereka, Tuan Ibrahim berkata pihaknya menggunakan kaedah 'pujuk dan bincang' sebelum sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka.

"Pertamanya dari segi peraturan parti, sekiranya mana-mana Anggota Parlimen masuk parti lain, secara automatik dia akan hilang keanggotaan.

"Yang keduanya semua calon-calon PAS terikat dengan baiah, kalau ikut baiahnya dia mesti mengosongkan kerusi yang dia menang, dan beri semula mandat kepada rakyat. Kalau dia tak buat dia langgar baiah dialah," katanya.