Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin mengesahkan gambar beberapa pemimpin UMNO bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tular di media sosial hari ini, sebagai tulen.

Bagaimanapun, menurut Kadir, perjumpaan dengan Perdana Menteri adalah perkara biasa, sama seperti tindakan keluar masuk parti.

Katanya gambar tersebut diambil pada 22 Oktober lepas semasa pemimpin-pemimpin UMNO itu makan malam bersama Dr Mahathir.

"Perdana Menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.

"Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun," katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Gambar itu menunjukkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar serta Datuk Yahya Abd Jalil sedang tersenyum bergambar bersama Perdana Menteri.

Gambar tular beberapa pemimpin-pemimpin UMNO sedang makan malam bersama Dr Mahathir. - Foto media sosial

Ia sekaligus menimbulkan spekulasi di media sosial bahawa mereka turut sedang bersedia untuk mengikut jejak beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini telah meninggalkan parti itu.

Namun, Kadir menjelaskan, tindakan mereka berjumpa Perdana Menteri tidak membawa apa-apa perubahan kerana mereka yang bersalah tetap akan dikenakan tindakan.

"Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat.

"Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah.

"Jumpa PM perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah," katanya lagi.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

BACA: 'Saya sertai Bersatu kerana ...' - Mas Ermieyati

Pada Rabu, lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator mengumumkan langkah meninggalkan UMNO.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa Rabu, menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, salah seorang yang keluar parti.