Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dijangka mengumumkan pelantikan barisan exco kerajaan negeri selewat-lewatnya minggu hadapan.

Beliau berkata kemelut yang membabitkan perlantikannya sebagai menteri besar sudah pun berakhir dan beliau akan menjalankan tugas sepertimana diamanahkan.

"Insya-Allah isu dah selesai, dan kerajaan negeri akan dibentuk dlm masa yang terdekat," kata Azlan.

BACA: Kemelut MB Perlis dianggap selesai - ADUN

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kemelut yang berlaku dan hanya mahu meneruskan tugas seperti biasa.

Azlan ditemui media pada majlis penyampaian sumbangan kepada 1,714 penerima sempena bulan Ramadan DUN Beseri, di Dewan 2020, dekat sini. Hadir sama, ADUN Beseri, Ruzaini Rais.

Pada Jumaat, kesemua sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) Perlis yang memulaukan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerusi satu sidang media.

Permohonan ampun itu diketuai Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh wakil rakyat UMNO pada satu sidang media di Perlis.

Ketika itu, mereka dilaporkan tetap menolak Azlan sebagai menteri besar negeri itu.

Bagaimanapun, ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Ann mendedahkan sembilan ADUN yang pada mulanya memboikot istiadat pelantikan Azlan sebagai menteri besar kini menyatakan sokongan malah akur dengan titah Tuanku Raja Perlis.