Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menerima tamparan apabila Timbalan Ketua Wanitanya, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini, beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap pimpinan parti yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau berkata, Presiden parti dan ‘pentaksubnya’ telah gagal menjalankan amanah majoriti ahli parti yang memilih mereka.

“Siri terancang pemecatan dan penggantungan anggota terutamanya melibatkan rakan seperjuangan yang telah lama memperkasakan parti dan organisasi dari awal penubuhan Parti Keadilan Nasional dari tahun 1999 dan seterusnya Parti Keadilan Rakyat, nyata telah meruntuhkan pemuafakatan yang selama ini dibina.

“Saya tidak mahu lagi terlibat atau dikaitkan dengan kancah perebutan kuasa politik mahupun dalam pembuangan anggota beramai-ramai. Tidak seperti dahulu, perjuangan Keadilan sekarang bukan lagi untuk agenda reformasi, tetapi untuk mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya lagi.

Dr Daroyah berkata, keputusan itu tidak bersendirian, tetapi turut disertai 13 lagi pimpinan Wanita Keadilan Selangor.

“Pimpinan Wanita Selangor yang bersama saya petang ini terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Pimpinan Keadilan Selangor, Ketua-ketua Wanita Cabang, Ahli-ahli Majlis Berkuasa Tempatan, serta pelbagai pimpinan akar umbi.

“Kami berasa amat terkesan apabila rakan-rakan pimpinan dan seperjuangan di segenap lapisan yang selama 21 tahun ini jerih-perih berjuang bersama dengan keringat dan air mata demi mengangkat idealisma Keadilan, sewenang-wenangnya dikenakan tindakan hanya kerana perbezaan pendapat,” katanya lagi.