Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi respons terhadap gesaan Pemuda UMNO supaya beliau mempertimbangkan untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti.

Menerusi sebuah posting di akaun Twitternya sebentar tadi, Presiden UMNO itu mengajak ahli parti untuk bergerak menentang musuh yang ingin memusnahkan parti tersebut.

"Terima kasih di atas pandangan PPUM (Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia), saya raikan kepelbagaian pendapat.

"Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yg mahu menghancurkan UMNO," tulisnya.


Pergerakan Pemuda UMNO pada Khamis menggesa supaya Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya selesai.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dibuat supaya Ahmad Zahid dapat memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

BACA: Pemuda UMNO gesa Zahid cuti seketika

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di Twitternya hari ini, menyenaraikan lima sebab Ahmad Zahid harus terus menggalas amanah sebagai Presiden UMNO.


Kedudukan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai Presiden UMNO menjadi tanda tanya selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan berkata, Ahmad Zahid mungkin perlu mengambil cuti daripada menjalankan tugas-tugas parti selepas didakwa di mahkamah.

Menurut Mohamad, UMNO mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa berkata, SOP tersebut hanya boleh digunakan sekiranya UMNO adalah sebahagian daripada parti yang memerintah.