Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak memandang rendah keyakinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan merampas semula kuasa di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya akan membuat persiapan dan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan Pulau Pinang terus berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

"Tentu kami kena lawan lebih serius, jangan pandang ringan. Di sini kami lihat bahawa BN begitu yakin dan telah membuat banyak persiapan untuk menang (di Pulau Pinang)," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan program turun padang Timbalan Perdana Menteri di Kepala Batas berkata BN yakin angin perubahan akan berlaku di Pulau Pinang pada PRU14 akan datang.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata ini berikutan beberapa kelemahan dan kepincangan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang mula memberi tamparan kepada rakyat negeri itu.

Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, DAP menguasai 19 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (10 kerusi). BN (10 kerusi) manakala satu kerusi diwakili PAS.

Sementara itu, Lim mengulangi bahawa negeri itu amat memerlukan terowong dasar laut sebagai laluan ketiga yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, di Butterworth berikutan masalah kesesakan trafik terutamanya di Jambatan Pulau Pinang.

Beliau berkata semalam pengguna Jambatan Pulau Pinang sekali lagi berhadapan dengan kesesakan lalu lintas selama kira-kira dua jam berikutan kemalangan di jambatan menghala ke bahagian pulau.

Projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

-- BERNAMA