DAP mengumumkan akan memberikan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, seramai 42 ahli Parlimen dari parti itu menyokong Anwar dan ia selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kami mengambil maklum pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi bahawa beliau telah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 Ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk Kerajaan,” katanya.

BACA: Kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh - Anwar

BACA: 'Saya persilakan dia untuk bekerjasama' - Anwar pelawa Muhyiddin sertai gabungan

Tengah hari tadi, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.

Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.


Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata berkata kerajaan baharu yang bakal ditubuhnya bukan kerajaan ‘back door’ ataupun kerajaan pintu belakang.

Tegas beliau, kerajaan baharunya mendapat majoriti yang kukuh dan menyakinkan.

BACA: 'Please grow up!' - Nasihat Alexander Nanta Linggi pada Anwar

BACA: Hanya sandiwara Anwar, ganggu PRN Sabah - Azizah

Dalam pada itu, rakan Pakatan Harapan (PH) PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan kesemua 11 ahli Parlimennya memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan hari ini berkata, sokongan itu seperti mana yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.


Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan tiada seorang pun daripada 18 wakil rakyat daripada parti itu menyokong untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Pas dalam masa terdekat.